Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
“CUBA tengok emak, kakak dan sepupu perempuan yang sudah berkahwin. Kira berapa ramai yang masih mengekalkan bentuk badan seperti ketika bujang. Ramai wanita di negara kita gemuk selepas berkahwin dan melahirkan anak kerana mereka biasanya menjadi orang yang menghabiskan saki baki makanan walaupun sudah kenyang,” kata seorang pakar kardiologi pada sidang kesihatan jantung tidak lama dulu. 
Selepas melepasi 35 tahun, usaha untuk menurunkan berat badan biasanya menjadi lebih payah tetapi untuk naik dua atau tiga kilogram dalam sebulan semudah mengelip mata! 
Seseorang dikatakan mempunyai berat badan berlebihan apabila kiraan Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 23 kg/m2 (bahagikan berat dalam kilogram dengan ukuran ketinggian dalam meter yang diganda dua). Ada juga pakar kesihatan yang mencadangkan setiap wanita mengekalkan ukuran pinggang supaya lebih kurang sama ketika mereka berusia 20-an. 
Selain daripada itu, ramai pakar menyarankan kita mengukur nisbah saiz pinggang ke pinggul, supaya ia tidak melebihi 0.86 bagi wanita dan 0.95 bagi lelaki. Ini bertujuan menggalakkan wanita menumpukan lebih perhatian dan meletakkan keutamaan diri sendiri sebaris dengan suami dan anak-anak, khususnya dalam soal kesihatan. 
Mengekalkan berat badan seimbang adalah faktor utama dalam penjagaan kesihatan khususnya bagi golongan pertengahan umur. Kajian menunjukkan bentuk badan buah pir (kegemukan di pinggang) memberi kesan lebih negatif terhadap kesihatan (khususnya penyakit jantung) berbanding bentuk epal (lemak berkumpul di pinggul dan paha). 
Namun kini, penyelidik mendapati peningkatan berat badan juga boleh menjejaskan daya ingatan. Dalam kajian Inisiatif Kesihatan Wanita ke atas 9,000 wanita pertengahan umur yang disiarkan dalam Jurnal Persatuan Geriatrik Amerika, mendapati bagi setiap peningkatan satu mata BMI, kiraan markah untuk ujian daya ingatan menurun satu mata. 
Maknanya, makin gemuk seseorang wanita itu, lebih tinggi kemungkinannya mengalami masalah daya ingatan. 
Menurut Ketua Penyelidik, Sekolah Perubatan Feinberg Universiti Northwestern, Chicago, Dr Diana Kerwin, kajian berkenaan mengukuhkan lagi kepentingan untuk wanita menjaga berat badan. Malah, wanita gemuk tetapi mempunyai tekanan darah dan paras kolesterol normal juga perlu berusaha mengurangkan berat badan mereka; kerana ia akan memberi manfaat kepada kesihatan jantung dan otak. 
Kajian dilakukan ke atas wanita berumur antara 65 hingga 79 tahun, 70 peratus daripada mereka alami masalah berat badan berlebihan atau obes tetapi tidak menunjukkan gejala dementia (nyanyuk) atau lain-lain ketidaknormalan pada otak. 
Kajian ini juga membuktikan bahawa kegemukan dan obesiti tidak hanya mendekatkan seseorang dengan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, sakit jantung dan strok tapi juga meningkatkan risiko nyanyuk. 
Kajian lain pula mendapati orang yang alami kegemukan di pinggang terutama wanita mempunyai risiko lebih tinggi mendapat kanser pankreas. Bagi yang sudah alami masalah kegemukan, perlulah mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan berat badan secara sihat dengan mendapatkan nasihat doktor, pakar pemakanan dan senaman. 
Berat badan kita tidak bertambah semalaman, ia berlaku secara perlahan-lahan dalam tempoh yang lama. 
Justeru, pengurangan berat badan juga mestilah dilakukan secara perlahan dan berperingkat. Penggunaan produk untuk mengurangkan berat badan secara drastik dan cepat dikhuatiri boleh membahayakan kesihatan. 
Antara punca peningkatan berat badan: 
- Terlebih makan 
- Kurang bersenam 
- Kurang tidur - Jika      kita berjaga hingga lewat malam, kita akan lebih cenderung untuk makan dan      ini akan meningkatkan pengambilan kalori. Apabila kita tidur lewat, proses      biologi badan akan merosot dan hormon yang memberi kesan kepada selera      akan mengambil alih menyebabkan anda berasa lebih lapar pada waktu pagi.      Hormon ini juga akan membuatkan kita berasa kurang kenyang selepas makan. 
- Tekanan - Apabila      dalam keadaan terlalu tertekan, badan akan berada dalam mod berjuang      dengan menghasilkan hormon kortisol (hormon tekanan) yang akan menyebabkan      selera makan bertambah. Biasanya dalam keadaan tertekan, kecenderungan      untuk makan juga meningkat bagi melegakan fikiran dan perasaan. Ketika      inilah kita cenderung memilih makanan yang tinggi kandungan kalori -      secara tidak langsung mengukuhkan asas kepada masalah berlebihan berat      badan. 
- Pengambilan ubat      antikemurungan - Antara kesan sampingan pengambilan ubat penenang ialah      peningkatan berat badan yang berlaku pada kira-kira 25 peratus pengguna      terutama jika ia diambil dalam jangka masa panjang. Bincanglah dengan      doktor untuk menukar ubat jika anda turut mengalami perkara sama. Ada      orang yang berat badannya bertambah sebaik memulakan pengambilan ubat;      kerana apabila fikiran tenang, selera makan turut bertambah. 
- Ubat antikeradangan      seperti corticosteroid - Selain mengurangkan atau menghentikan keradangan,      ia juga boleh menyebabkan retensi air dan peningkatan selera.      Bagaimanapun, kesannya berbeza mengikut pesakit dan dos yang diambil. 
- Masalah      hipotiroidisme - Ia bermakna kelenjar tiroid (terletak di leher) tidak      dapat menghasilkan hormon tiroid secukupnya menyebabkan anda cepat berasa      letih, lemah, sejuk dan berat badan bertambah. Ketidakcukupan hormon      tiroid akan memperlahankan metabolisma, membuatkan berat badan lebih cepat      meningkat. Malah berat badan juga boleh bertambah walaupun paras hormon      berada pada had terendah dalam julat normal. 
- Penuaan - Penuaan      juga akan memperlahankan metabolisma dan pembakaran kalori mengambil masa      yang lebih lama. Apabila usia meningkat kita juga menjadi kurang aktif.      Bagi wanita menopaus, pengumpulan lemak biasanya berlaku di pinggang; dan      bukannya di pinggul dan paha seperti wanita muda. 
- Sindrom Polisistik      Ovari (PCOS) - Ini adalah masalah hormon yang lazim di kalangan wanita      muda. Banyak sista kecil tumbuh pada ovari wanita yang mengalami PCOS dan      ia menyebabkan ketidakseimbangan hormon yang turut menjejaskan kitaran      haid wanita berkenaan, pertumbuhan bulu roma berlebihan dan jerawat.      Wanita PCOS juga mengalami masalah kerintangan insulin (kurang sensitif      pada insulin untuk mengangkut gula daripada darah masuk ke dalam sel);      mengakibatkan berat badan mereka meningkat. 
- Berhenti merokok -      Nikotin akan menumpulkan selera dan sensitiviti deria rasa pada lidah.      Apabila seseorang itu berhenti merokok, keadaan akan kembali normal dan      inilah yang menyebabkan selera makan bekas perokok bertambah. Secara      purata orang yang berhenti merokok mengalami pertambahan berat antara dua      hingga empat kilogram. Bagaimanapun pertambahan berat badan ini boleh      dikawal dengan mengawal jumlah makanan yang diambil. Janganlah ada perokok      yang menjadikan perkara ini sebagai alasan untuk tidak berhenti merokok      kerana di kalangan perokok tegar pun ramai yang gemuk. 
 
 Jika anda mengalami masalah berat badan:
- Jangan berhenti      mengambil ubat tanpa nasihat doktor. Ketahui fungsi dan kepentingan ubat      yang anda ambil. Ia mungkin sangat penting untuk kesihatan anda. Biasanya      apabila doktor memberikan anda ubat, dia sudah membuat pertimbangan antara      manfaat dan kesan sampingan yang mungkin anda hadapi. 
- Jangan membandingkan      diri anda dengan orang lain yang mengambil ubat sama. Setiap orang      mempunyai tindak balas berbeza dan bukan semua orang akan mendapat kesan      sampingan yang sama. Begitu juga dengan ubat menguruskan badan. Pada A ia      mungkin berkesan tetapi tidak semestinya ia akan memberi kesan yang sama      pada anda. 
- Jangan panik jika      penambahan berat badan anda disebabkan retensi air kerana ia hanyalah      sementara. Kesan ini akan hilang sebaik anda menghabiskan pengambilan ubat      berkenaan. 
- Mulakan program      mengawal makan dan bersenam. Ia bukan saja membantu mengatasi masalah anda      tetapi akan meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.