Oleh DR NIZAR ABD JALIL (Pakar Kesakitan Kronik Hospital Universiti Sains Malaysia)
METRO AHAD
JIKA anda berasa sakit di antara dua tulang belikat atau tulang kipas, anda kemungkinan menghidap sakit sendi faset torasik. Ia adalah penyakit artritis sendi faset pada bahagian vertebral torasik. Gejala ini memang banyak berlaku di kalangan kita tapi tidak ramai pesakit dapat rawatan yang mujarab.
Kenapa begitu? Ini adalah kerana penyakit sendi faset torasik ini sukar dikenal pasti oleh ramai doktor. Malah gejala atau manifestasi penyakit ini jarang disebut dalam buku perubatan moden. Ubat penahan sakit dan fisioterapi saja tidak dapat mengawal sakit ini untuk selamanya.
Apakah sendi faset torasik?
Sendi faset torasik berada di kiri dan kanan tulang vertebral torasik. Tulang belakang torasik terletak pada bahagian tengah menyambungkan vertebral tengkuk (servikal) dan pinggang (lumbar). Setiap segmen mempunyai sepasang sendi faset yang kecil sebesar kacang pis yang berfungsi untuk menyambung dan membenarkan pergerakan putaran di antara segmen vertebral.
Vertebral torasik ini dilindungi dengan dua belas tulang rusuk yang dapat berfungsi menyerap dan mengagihkan tekanan pada sendi faset. Oleh kerana pergerakan harian kita kurang membabitkan vertebral torasik, maka secara perbandingannya, proses kerosakan akibat pergerakan kurang berlaku di sini jika dibandingkan pada bahagian tengkuk dan pinggang. Maka tidak hairanlah ramai doktor tidak arif mengenai manifestasi penyakit artritis sendi faset ini. Oleh kerana tulang vertebral torasik ada 12 kesemuanya, maka kesakitan boleh berlaku di mana-mana sepanjang tulang berkenaan.
Apa gejala sakit sendi faset torasik?
Sakit sendi faset torasik boleh berlaku sepanjang sisi tulang vertebral torasik. Rasa sakit boleh berpunca daripada sendi facet yang mengalami artritis ataupun daripada otot pada kiri kanan tulang belakang yang mengalami keadaan sindrom miofasia. Rasa sakit pada otot biasanya sangat ketara dan pesakit boleh menentukan lokasinya secara terperinci. Gejala yang paling kerap ialah rasa sakit di antara dua tulang belikat atau tulang kipas. Keadaan ini memberikan tip penyakit ini membabitkan sendi faset tulang torasik bahagian atas. Dalam keadaan ini, pesakit juga akan rasa keadaan bahu menjadi lemah dan pergerakan tangan pada sendi bahu tidak bermaya.
Kadang kala rasa sakit pada tulang belikat ini seolah-olah menjalar turun ke tangan. Banyak juga di kalangan pesakit saya mengadu sukar bernafas seperti episod lelah.
Ada juga beberapa pesakit mengadu tidak boleh tidur terlentang kerana posisi berkenaan menyebabkan tekanan kuat pada sendi faset dan mengakibatkan kesakitan yang lebih kuat pada tulang belakang. Selain itu, pesakit yang mengalami keadaan abnormaliti pada tulang belakang seperti skoliosis cenderung untuk dapat penyakit sendi faset ini.
Rawatan yang berkesan
Ubat penahan sakit dan fisioterapi saja tidak dapat mengawal sakit ini untuk selamanya. Itu adalah rawatan biasa yang diberi kebanyakan doktor.
Ada juga doktor yang berani suntik ubat bius pada otot yang sakit. Bagaimanapun, ia hanya melegakan untuk sementara waktu. Rawatan paling berkesan ialah rawatan radiofrekuensi, iaitu suntikan yang bertujuan melumpuhkan saraf sensori pada sendi faset berkenaan. Teknik ini pada prinsip sama saja dengan rawatan radiofrekuensi sendi faset pada tengkuk dan pinggang, tapi daripada segi teknikalnya berbeza kerana ia lebih rumit dan mencabar. Komplikasi yang paling bahaya boleh berlaku ialah kebocoran paru-paru kerana sendi ini hampir dengan paru-paru. Oleh itu jika anda mahu mendapat rawatan, anda perlu pastikan bahawa doktor yang merawat itu benar-benar terlatih.
Pengalaman saya dalam merawat pesakit ini di HUSM, hampir 90 peratus daripada pesakit dapat dikawal kesakitan mereka ke tahap minimum. Tiada komplikasi yang serius berlaku.
No comments:
Post a Comment